BEIJING – Seorang penghibur digelar pengemis terkaya di China kerana mampu menjana pendapatan sehingga 70,000 yuan (RM46,069) sebulan dengan berlakon sebagai pengemis, lapor laman berita Oddity Central.
Lu Jingang, menjadi perhatian ramai kerana berlakon sebagai pengemis secara profesional di sekitar kawasan tumpuan pelancong, Qinming Shanghe Garden, wilayah Henan.
Dia melakukan pekerjaan tersebut selama 12 tahun sekali gus mencetuskan perdebatan ramai yang menuduhnya sebagai penyamar.
Namun, Jingang mendakwa bahawa dia sekadar berlakon menjadi pengemis kerana menyukai bidang kerja tersebut. Ia memberi peluang kepadanya menjadi penghibur tanpa perlu menghadiri sesi uji bakat.
Dengan mukanya yang dipenuhi kotoran, renungan mata yang sedih dan pakaian compang-camping, Jingang melakonkan watak pengemis untuk menarik perhatian pelancong yang bermurah hati mendermakan wang kepadanya.
“Saya mahu berhenti kerja dan menjadi pengemis,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI