JOHOR BAHRU – Siasatan awal polis mendapati kemalangan mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 18.8 Lebuh Raya Pasir Gudang menghala ke Perling berhampiran susur masuk ke Permas Jaya di sini berpunca daripada treler terbabas sebelum memasuk laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, treler jenis Scania yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an membawa kontena dari arah Tanjung Pelepas, Gelang Patah menuju ke Pasir Gudang.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, treler tersebut terbabas ke sebelah kanan jalan merempuh penghadang jalan sebelum memasuki dan terbalik merintangi laluan bertentangan.
“Pada masa yang sama, treler tersebut merempuh tiga kenderaan lain termasuk Honda Civic, Perodua Myvi dan Perodua Alza.
“Kemalangan itu telah meragut nyawa pemandu Honda Accord dan penumpangnya wanita warga emas serta pemandu Perodua Alza,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mangsa yang maut menaiki Honda Accord ialah G.K Murugan, 45, dan emaknya, M. Kullamah, 73 manakala pemandu Perodua Alza ialah Chong Chee Ping, 46.
Raub berkata, pemandu Perodua Myvi yang berusia 40-an dan pemandu treler mengalami kecederaan parah sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
Jelasnya, kesemua mangsa yang terkorban dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE