PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan satu laporan diterima pihaknya terhadap saksi kes rasuah membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya difahamkan terdapat perkembangan terkini bagi kes berkenaan yang dikemukakan tertuduh.
Menurutnya, laporan yang diterima SPRM itu terhadap seorang saksi bagi kes berkenaan dan penelitian lanjut akan dijalankan.
“SPRM akan memulakan siasatan terhadap perkembangan terbaharu yang diterima dan mengemukakan semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya hari ini.
SPRM berkata, Tengku Adnan masih mempunyai satu lagi kes yang masih menanti keputusan dan tiada kaitan dengan keputusan mahkamah hari ini.
Tambahnya, keputusan melepas tanpa membebaskan Tengku Adnan tidak bermaksud dia dibebaskan sepenuhnya kerana masih boleh didakwa pada bila masa jika diberi keizinan oleh Jabatan Peguam Negara.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan Tengku Adnan daripada tuduhan menerima rasuah RM1 juta.
Keputusan itu dibuat Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim supaya Tengku Adnan dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu.
Mohd. Nazlan dalam penghakimannya berkata, selepas mendengar hujahan pendakwaan bahawa terdapat perkembangan baharu dan keperluan menyiasat, maka mahkamah mengarahkan tiada pembebasan penuh diberikan mengikut Seksyen 254(3) Kanun Acara Jenayah. – K! ONLINE