PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun pendepositnya yang mengalami kerugian RM12,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan (scammer).
TH dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan itu dibuat bagi mengelakkan berlaku kerugian yang lebih besar kepada mangsa.
“Ia dibuat tiga hari sebelum aduan dibuat setelah pihak TH mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, wang sebanyak RM12,000 itu telah dipindahkan melalui lima transaksi dalam masa empat hari.
“TH juga sedang melakukan siasatan atas perkara ini. Mangsa juga telah membuat laporan polis.
“TH akan sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dalam sebarang siasatan ke atas kes penipuan siber.
“TH sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka mana-mana mesej dan hantaran yang meragukan atau berkongsi data peribadi dengan mana-mana pihak,”jelasnya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Asri Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang bilal sebuah masjid di Ulu Yam Bharu, Hulu Selangor mengatakan dia mengalami kerugian RM12,000 selepas wang di dalam akaun TH miliknya disyaki dipindah ke akaun milik orang lain.
“Hasil siasatan mendapati mangsa menerima mesej dari hotline Tabung Haji yang menyatakan terdapat pemindahan wang dari akaunnya.
“Semakan menemui terdapat lima transaksi iaitu sekali pada 20 Februari (RM 3,000), dua kali (21 Februari, RM 3,000), sekali (22 Februari, RM 3,000) dan sekali (23 Februari, RM 3,000),” katanya. – KOSMO! ONLINE