KUALA LUMPUR – Kumpulan Kugiran Masdo yang terdiri daripada Ali Sariah selaku vokalis, Putu Ceri (bass) dan Asmawi (gitaris), tidak bercadang untuk menjual ratusan helai koleksi blazer dan sut yang pernah digayakan mereka ketika mengadakan konsert atau acara pentas kerana mahu menyimpannya sebagai kenang-kenangan.
Ujar vokalisnya, Ali, walaupun mendapat permintaan daripada peminat yang mahu membeli pakaian yang pernah mereka gayakan, namun mereka sepakat untuk tidak menjualnya kerana mahu dijadikan koleksi peribadi.
“Jumlah sut atau blazer yang kami ada dari awal kemunculan dahulu sehingga sekarang, mencecah ratusan helai juga.
“Ada peminat yang tanya sama ada kami mahu menjual sut-sut sebagai ‘preloved’ (pakaian terpakai). Tapi kami tidak bercadang untuk menjualnya kerana ada sesetengah pakaian yang kami pernah pakai mempunyai nilai sentimental tersendiri,” ujarnya.
Tambah Putu Ceri atau nama sebenarnya Ahmad Azanol Khushairie, dia membayangkan jika ada pihak yang menghargai karya mereka dan mahu mewujudkan sebuah galeri Istimewa untuk Kugiran Masdo suatu hari nanti.
“Manalah tahu bila kami tua nanti, kalau ada pihak yang menghargai karya kami dan mahu wujudkan sebuah galeri, boleh juga pamerkan koleksi-koleksi Kugiran Masdo termasuk pakaian yang pernah kami pakai.
“Kami pun masih ada simpan lagi blazer pertama yang kumpulan kami miliki. Sekurang-kurangnya boleh dijadikan kenang-kenangan pada masa akan datang, walaupun sudah tidak muat lagi,” katanya berseloroh.
Bercakap tentang harga yang perlu dibelanjakan untuk menyediakan sepasang sut, Asmawi atau Muhammad Aizat Asymawi Mohd. Ismail memberitahu, harga pakaian mereka, menyamai harga untuk sebuah motosikal jenis Honda EX5.
“Ketika membuat persembahan, kami akan pakai pakaian yang sedondon. Harga untuk sepasang sut boleh tahan juga. Setara dengan harga sebuah motosikal jenis Honda EX5, iaitu kira-kira RM5,000 sepasang.
“Tapi sekarang kami kena jadi lebih bijak. Sebelum ini memang pakaian kami sediakan sendiri. Tapi memandangkan hampir setiap minggu dapat undangan membuat persembahan, jadi kebanyakan pakaian kami minta penaja (sponsor) sahaja.
“Kami tidak mahu membazir buat pakaian yang akan dipakai sekali sahaja. Cuma untuk acara-acara besar seperti Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) baru-baru ini, kami buat pakaian baharu,” jelasnya.
Sementara itu, Masdo yang bakal terlibat dengan Festival Aku. Muzik & Kamu di Johor Bahru pada 8 Jun nanti, berkongsi rasa teruja untuk bertemu dengan peminat mereka di Johor, selepas sekian lama tidak membuat persembahan di negeri selatan tanah air itu.
Katanya, Johor Bahru mempunya salah satu tempat yang boleh dikatakan istimewa bagi Kugiran Masdo kerana mempunyai sejarah indah ketika mula-mula bertapak dalam industri hiburan tanah air.
“Orang-orang di Johor Bahru yang menerima kami ketika awal penubuhan Masdo. Merekalah yang menyaksikan kemunculan awal kami pada sekitar tahun 2016.
“Album pertama kami iaitu Selamat Tinggal Pujaan mendapat sambutan yang cukup hangat di Johor Bahru ketika kamu buat jelajah di beberapa buah negeri.
“Persembahan pertama kami juga diadakan di Johor Bahru dan dihadiri sekitar 2,000 orang peminat. Jadi Johor Bahru sangat Istimewa di hati kami.
Selain Masdo, Festival Aku. Muzik & Kamu yang berlangsung selama 10 jam tanpa henti itu, turut menampilkan persembahan hebat daripada kumpulan Exist, Saixse, IAMNEETA dan ratu rock negara, Ella.
Festival berkonsepkan muzik Nusantara itu juga turut menampilkan persembahan daripada penyanyi terkenal dari Singapura iaitu Imran Ajmain dan Indonesia yang diwakili oleh Afgan dan Feel Koplo. – KOSMO! ONLINE