KUALA LUMPUR – Enam daripada sembilan individu telah selesai dirakam percakapan berhubung himpunan tuntut #Reformasi100Peratus anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Parlimen, di sini, 27 Februari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya akan memanggil tiga lagi individu untuk melengkapkan siasatan.
“Semua sekali sembilan percakapan perlu dirakam, enam sudah dipanggil dan baki tiga akan diambil minggu ini.
“Selesai semua dipanggil kita akan sempurnakan siasatan dan menghantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar Majlis Sumbangan Peralatan Persekolahan Murid Darjah 1 Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan berhubung himpunan tuntut #Reformasi100Peratus yang diadakan di laluan masuk bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 27 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Noor Dellhan Yahaya dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil penganjur himpunan itu susulan tidak memberi notis awal sekurang-kurangnya lima hari kepada polis.
Menurut beliau, siasatan akan dijalankan di bawah seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Dianggarkan seramai 100 peserta Himpunan Tuntut Reformasi berkumpul di Plaza Tugu Negara seawal jam 7 pagi sebelum berarak ke bangunan Parlimen.
Himounan tersebut dilakukan untuk menyuarakan beberapa tuntutan bagi mendesak kerajaan melaksanakan reformasi yang dijanjikan. – KOSMO! ONLINE.