LIVERPOOL – Bekas ketua pegawai eksekutif Everton dan Aston Villa, Keith Wyness percaya bahawa tiga pemain tonggak yang menjadi tulang belakang Liverpool bakal mengikuti jejak pengurus mereka, Jurgen Klopp meninggalkan Anfield hujung musim ini.
Penggempur utama, Mohamad Salah, ketua pasukan, Virgil van Dijk dan penjaga gol, Alisson dijangka membuat keputusan meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Klopp mengumumkan bulan lalu bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai pengurus Liverpool pada akhir musim selepas sembilan tahun menghabiskan masa di Merseyside dan meraih pelbagai kejayaan.
Laporan sebelum ini menyebut, Liverpool akan membenarkan Salah untuk meninggalkan kelab pada musim panas ini dengan bayaran melebihi £100 juta ketika pemain itu berjaya menarik minat kelab dari Arab Saudi.
“Tulang belakang pasukan Liverpool mungkin akan pergi pada musim panas. Saya fikir, Alisson, Virgil Van Dijk dan Mohamad Salah adalah antara pemain yang akan pergi bersama Klopp kerana faktor hubungan antara mereka.
“Ia pastinya akan menyukarkan pengurus baharu yang akan tiba di Anfield untuk mengekalkan prestasi pasukan itu nanti. Walaupun pemain muda mereka semakin menyerlah, tetapi pasukan masih memerlukan pemain senior yang berpengalaman,” kata Wyness .
Dalam pada itu, mereka sedang melalui proses pencarian pengurus pasukan baharu dan Xabi Alonso antara yang mungkin akan dilamar Liverpool untuk menjadi pengurus pasukan yang baharu. – AGENSI