PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya berkata, antara kawasan terlibat di Kedah adalah Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Ujarnya, seluruh Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuklah Putrajaya turut berdepan dengan cuaca buruk sama.
“Hujan lebat turut melibatkan Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) dan seluruh Melaka.
“Di Johor, kawasan yang dilanda ribut petir adalah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya.
Sementara itu, katanya di Sarawak antara kawasan yang turut mengalami cuaca yang sama adalah Sri Aman, Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Marudi) dan Limbang.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam. – KOSMO! ONLINE