BALING – Seorang lelaki berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti pendakian Gunung Baling, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 12.13 tengah hari tadi.
“Bilik kawalan menerima panggilan kecemasan yang dibuat terus ke balai memaklumkan terdapat mangsa tidak sedarkan diri di atas gunung.
“Mangsa juga dimaklumkan tidak dapat dibawa turun ke kaki gunung,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa dipercayai tidak sedarkan diri selepas melakukan aktiviti mendaki gunung bersama rakannya.
“Tindakan pasukan keluaran operasi (PKO) adalah mendaki gunung bagi mendapatkan mangsa.
“Mangsa kemudian berjaya dibawa turun ke kaki gunung dan petugas kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE