PETALING JAYA – Seorang bekas wartawan warga asing mendakwa, wanita berkulit putih tidak selamat berada di Kuala Lumpur dan berpotensi dicabul bagi setiap dua minit jika berada di bandar berkenaan.
Dakwaan itu dibuat susulan kisah tular pasangan pelancong asing yang bukan sahaja dipukul, malah teman wanitanya juga dirogol bergilir-gilir ketika berada di India.
“India bukan satu-satunya tempat seperti ini. Seorang wanita kulit putih yang berjalan melalui Kuala Lumpur boleh menjangkakan payudaranya diraba kira-kira setiap dua minit,” katanya menerusi satu ciapan di aplikasi X.
Dia kemudiannya ‘berkongsi’ pengalaman berdepan dengan 50 lelaki yang dikatakan cuba meraba dirinya ketika sedang berjalan dari Central Market ke Shangri-La, di ibu kota.
Katanya lagi, dia pernah tinggal di Kuala Lumpur selama lapan tahun dan sentiasa diganggu begitu, sama seperti rakan wanitanya lain yang juga berkulit putih.
Susulan itu katanya, dia berpindah ke Singapura dan mula bawa payung besar serta memukul sesiapa sahaja yang memegang buah dadanya.
Wanita berkenaan terus bertegas dengan dakwaannya itu apabila orang ramai mula mempertikaikan pendedahan dibuat yang dianggap tidak berasas.
“Berjalan kaki dari Central Market ke Shangri-La pada suatu hari lalu lintas sangat teruk, saya memukul kira-kira 50 lelaki semuanya Melayu, cuba mencapai payudara saya. Ketika itu saya sedar, saya kena pindah.
“Saya membawa kepada pemimpin politik paling kanan mengatakan ia adalah PR buruk untuk bandar. Mereka yang mempunyai nama ketawa.
“Ia bukan rogol tetapi ia adalah serangan seksual. Negara yang baik akan mendakwa (kes berkenaan),” tambahnya.
Rata-rata orang ramai tidak berpuas hati dan membidas dakwaan wanita berkenaan.
“Jika itu benar-benar berlaku, kenapa anda tidak membuat sebarang laporan polis? Satu laporan polis pun tak buat?” soal seorang pengguna.
“Ini mengarut. Saya tinggal di Kuala Lumpur hampir empat tahun dan perkara ini tidak pernah berlaku kepada saya atau mana-mana rakan saya,” bidas Nomad Australia.
“Jujurnya saya tidak boleh katakan Malaysia negara paling selamat di dunia, tetapi adalah mustahil untuk mempunyai 50 lelaki cuba bertindak sedemikian dalam jarak berjalan yang singkat,” komen Hayashi. – KOSMO! ONLINE