fbpx

AirAsia tawar 22,000 tempat duduk tambang rendah tetap sempena Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke merasmikan Majlis Pengumuman Tambang AirAsia ke Sabah dan Sarawak sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Airasia RedQ, hari ini. FOTO OLEH FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

SEPANG – AirAsia menawarkan 22,000 tempat duduk pada tambang rendah tetap untuk penerbangan lewat malam antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sempena musim Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kadar tambang tetap ditawarkan ialah pada RM298 sehala ke Sarawak manakala ke Sabah pula adalah RM348 sehala.

Beliau berkata, tambang promosi itu boleh ditempah bermula hari ini hingga 17 April di laman web airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.

“Tawaran itu membabitkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu, atau Miri dan Johor Bahru ke Kuching, Sibu, atau Miri dengan tambang tetap RM298 sehala.

“Selain itu, mereka juga boleh terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan, atau Tawau serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu dengan tambang tetap RM348 sehala,” katanya selepas melancarkan promosi tambang murah AirAsia di sini, hari ini.

Katanya, secara keseluruhan, AirAsia akan mengendalikan 122 penerbangan lewat malam pada tambang rendah tetap untuk 11 destinasi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sepanjang promosi itu.

Selain itu, katanya, AirAsia juga mengendalikan 735 penerbangan mingguan dengan tambang biasa ke Sabah, Sarawak dan Labuan sebagai sokongan kepada inisiatif musim perayaan oleh kerajaan.

Sebelum ini, MOT menetapkan kadar tambang maksimum RM599 untuk penerbangan kelas ekonomi sehala ke Sabah, Sarawak dan Labuan menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI