IPOH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) kink sedang memproses kira-kira 49,000 permohonan menjadi warganegara dengan 12,000 daripadanya adalah menerusi kaedah penaturalisasian di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua permohonan berkenaan perlulah melalui proses temuduga dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terlebih dahulu memandangkan ia merupakan syarat yang perlu dipatuhi oleh pemohon taraf warganegara.
“Jadi siri temuduga ini satu yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang JPN kena laksanakan dan pemohon juga kena patuhi.
“Jadi angka itu yang kami nak facilitate (permudahkan permohonan), nak mudahkan dan kami nak buat keputusan tanpa berlengah-lengah lagi. Bagaimanapun, kami tak boleh ketepikan semua aspek perundangan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Ujian Pengetahuan Bahasa Melayu (UPBM) di Kompleks KDN di Meru di sini sebelum meneruskan agenda lawatan ke Rumah Seri Kenangan di Ulu Kinta di sini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya menerusi JPN berhasrat untuk menambah baik proses temuduga di bawah Perkara 19 terutamanya melibatkan calon berusia 80 tahun ke atas yang dilahirkan sebelum negara mencapai kemerdekaan. – KOSMO! ONLINE