GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan satu aktiviti penyeludupan dadah bernilai RM10.53 juta yang dibawa masuk dari Indonesia menggunakan laluan laut di Pulau Betong, Balik Pulau dekat sini 3 Disember lalu.
Operasi tersebut dijalankan sepasukan enam anggota bot pemintas Maritim Negeri menerusi Op Pertiwi yang dijalankan di perairan Teluk Kumbar hingga ke Gertak Sanggul kira-kira pukul 8.20 malam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot pemintas dengan kekuatan 1,050 kuasa kuda telah terserempak dengan sebuah bot rekreasi yang berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar 3.0 batu nautika Barat Daya Pulau Betong.
Menurutnya, suspek terdiri dua lelaki gagal memberi kerjasama dan cuba meloloskan diri dengan memandu bot secara merbahaya.
“Berlaku aksi mengejar dalam tempoh 30 minit dan suspek dilihat telah mencampakkan beberapa objek ke dalam laut selain bertindak terjun bagi cubaan meloloskan diri. Bot yang dinaiki dibiarkan memecut laju sebagai helah untuk tidak ditangkap.
“Anggota bertindak pantas mengambil objek tersebut sebelum tenggelam. Hasil pemeriksaan di dalam lapan buah beg pakaian warna hitam menemui 240 peket dadah jenis Methamphetamine manakala satu beg lagi berisi tujuh bungkus pil ekstasi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM negeri di sini hari ini.
Anggaran berat dadah jenis Methamphetamine adalah 240 kilogram (kg) manakala ekstasi dengan anggaran 9.3kg.
Beliau memberitahu, tangkapan ke atas dua suspek lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30 hingga 30-an dilakukan selepas 16 jam operasi dijalankan kira-kira pukul 12 tengah hari keesokannya.
“Masing-masing suspek telah diselamatkan nelayan bot pukat tunda dan nelayan pantai selepas terapung di lokasi berasingan di perairan berhampiran sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE