JOHOR BAHRU – Seorang bekas bendahari masjid di Kampung Sri Machap, Kluang mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi pertuduhan menyalahgunakan wang milik masjid berjumlah RM12,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Syaharullah Ismail, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, pemandu lori itu didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang milik Masjid di Kampung Sri Machap berjumlah RM12,000.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 9.17 malam di sebuah bank di Bangunan Tabung Haji, Jalan Dato’ Kapten Ahmad, pada 12 November 2022.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Zahida Muhammad Rozi manakala tertuduh diwakili peguam lantikan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi.
Hakim membenarkan pemandu lori itu diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM cawangan Kluang sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 8 April ini sebagai sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE