SEOUL – Seorang penumpang pesawat Jetstar kecewa dan mendakwa bahawa pramugari syarikat penerbangan berkenaan tidak membenarkan dia meminjam pennya, lapor akhbar New York Post semalam.
Sebaliknya, kata Douglas Lazickirk, dia perlu membeli sebatang pen pada harga AS$5 (RM23.73).
Kejadian berlaku ketika Lazickirk menaiki penerbangan dari Sydney menuju ke Seoul, Ahad lalu.
Menurutnya, dia perlu menggunakan pen untuk mengisi kad ketibaan.
Lazickirk akhirnya membeli sebatang pen pada harga tersebut, namun apabila mendarat di Korea Selatan dia menyedari dikenakan bayaran berlebihan.
“Saya menyemak akaun bank saya dan saya dikenakan bayaran sebanyak dua kali,” katanya dalam satu klip video yang tular di media sosial.
Dia membuat aduan kepada Jetstar dan berharap akan mendapatkan kembali wangnya. – AGENSI