fbpx

Tiga hala tuju agenda baharu pemerkasaan bumiputera – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di sini, hari ini. Foto AMIR KHALID

PUTRAJAYA – Sebanyak tiga isbat (penetapan) digariskan untuk diterjemahkan ke dalam hala tuju agenda baharu pemerkasaan bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga isbat berkenaan adalah memperkukuh pasak ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.

Katanya, bagi mendukung aspirasi yang diutarakan oleh semua lapisan masyarakat, beliau berpandangan agenda pemerkasaan ini wajar dilaksanakan melalui beberapa pemacu yang menjadi fokus utama diagihkan kepada tiga isbat berkenaan.

“Bagi isbat memperkukuh pasak ekonomi, perlu memberi fokus kepada beberapa pemacu utama yang melibatkan usaha mengukuhkan daya saing, meningkatkan penskalaan, meningkatkan dan mengekalkan pemilikan ekuiti, mencipta kekayaan, membangunkan bakat, meningkatkan pendapatan dan menoktahkan kemiskinan tegar.

“Isbat memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi, adalah penekanan kepada penghayatan dan falsafah bumiputera, pengukuhan penyampaian perkhidmatan dan peningkatan penyertaan syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) perlu diberi tumpuan khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di sini, hari ini.

Bagi menegakkan keadilan sosial, Anwar berkata, isbat ini perlu memberi tumpuan untuk menyokong anjakan mobiliti sosial, meningkatkan kesaksamaan peluang dan memperluas jaringan perlindungan sosial.

“Antara bidang yang memerlukan penelitian khusus merangkumi ekosistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perumahan dan akses kepada infrastruktur asas yang berkualiti.

“Selain itu, usaha untuk meningkatkan sosioekonomi orang asli serta keseimbangan pembangunan di negeri Sabah dan Sarawak harus diberi tumpuan,” ujarnya.

Jelasnya, pelaksanaan isbat ketiga ini diharap dapat memberikan hak dan perlindungan yang lebih saksama kepada masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI