MELAKA – Pemilik kucing tular, Mike yang didakwa diikat di tiang dipercayai di Bandar Hilir, di sini bagi tujuan mengemis menafikan situasi tersebut.
Dia yang menggunakan nama Shahrin Latif di akaun Facebook memaklumkan, Mike merupakan kucing peliharaan di dalam rumah dan sering dibawa keluar bersiar-siar pada waktu malam susulan cuaca panas ketika ini.
Jelasnya, beg sumbangan yang diletakkan berhampiran kucingnya itu adalah cadangan daripada orang ramai bagi memudahkan ‘peminat’ Mike memberikan sedikit wang belanja.
“Asalnya saya bawa Mike pakai cawak kucing, dia jalan sendiri tapi beberapa langkah saja dia berhenti. Jadi dekat situ ada orang datang gomol, usap, kemudian hulur sedikit sumbangan katanya ‘jajan’ untuk Mike.
“Ada yang cadangkan saya bawa tabung, jadi saya pakai lah beg sebagai Mike punya dompet kalau ada org nak sumbang kat dia secara ikhlas,” tulisnya.
Katanya, dia tidak pernah meminta-minta agar sumbangan itu diberikan, malah wang yang diperoleh dibelanjakan untuk membeli keperluan Mike.
“Duit sumbangan orang bagi tu, saya pakai untuk Mike sahaja. Alhamdulillah, dapatlah Mike merasa makanan mewah macam ‘frozen dried chicken’ dan beli syampu.
“Terbaharu, saya dapat belikan beg sandang untuk Mike, senang nak bawa dia jalan-jalan dan duit sumbangan itu juga boleh jadi tabung insurans kesihatan dia kerana umurnya sudah lima tahun, kalau umur manusia 36 tahun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE