PETALING JAYA – Jurang usia 17 tahun tidak menjadi penghalang apabila pengacara Harris Alif didakwa sudah melamar kekasihnya iaitu aktres Intan Ladyana.
Desas-desus berkenaan mula bertiup kencang apabila Harris, 21, memuat naik hantaran dalam Instagram memaparkan dirinya sedang menghulurkan sebentuk cincin kepada seorang wanita dipercayai Intan Ladyana.
“Semoga cinta kita mekar selamanya (beserta emoji berbentuk hati),” tulis Harris pada kapsyen foto berkenaan.
Disebabkan foto dan kapsyen yang menimbulkan tanda tanya tersebut, ramai rakan selebriti menitipkan ucapan tahniah pada ruangan komen.
“Tahniah bro. Ingat apa kita discuss (bincang). Kalau isteri marah, terus pasang MotoGP. Pasang headset,” seloroh penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni.
Antara rakan selebriti lain yang mengucapkan tahniah seperti Sweet Qismina, Sharnaaz Ahmad dan Raja Syahiran.
Bagaimanapun, jawab Harris kepada sebuah portal mengenai kesahihan dia sudah melamar Intan: “Maaf, buat masa ini saya tidak mahu komen mengenai soal itu.”
Pada Mei lalu, Harris mengaku bahagia menjalin hubungan cinta bersama Intan biarpun jurang usia mereka 17 tahun. – K! ONLINE