MELAKA – Suasana di Kampung Paya Rumput Jaya Hilir, Sungai Udang, dekat sini bertukar kecoh apabila seekor anak buaya tembaga muncul di Sungai Air Batu berhampiran kawasan penempatan, semalam.
Haiwan reptilia itu bagaimanapun berjaya ditangkap dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
Pegawai Operasi, Latihan dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Melaka Tengah, Leftenan (PA) Mohd. Kamil Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 12.30 tengah hari.
Katanya, sepasukan empat anggota telah dikejarkan ke lokasi dan operasi penangkapan mengambil masa kira-kira tiga jam dengan bantuan penduduk kampung.
“Anak buaya tersebut berada di dalam sungai dan pasukan terpaksa menggunakan pam bagi mengeringkan air.
“Anak buaya seberat 15 kilogram dan panjang lebih satu meter itu akhirnya berjaya ditangkap dalam masa hampir mencecah tiga jam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, anak buaya tembaga itu telah diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE