fbpx

Kerajaan umum tujuh inisiatif, perkasa ekonomi bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap pada penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di sini, hari ini. Foto AMIR KHALID

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan tujuh inisiatif baharu dalam memperkasakan ekonomi bumiputera negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaam meluluskan dana permulaan RM1 bilion bagi melahirkan usahawan baharu dalam kalangan bumiputera.

Katanya, usaha melahirkan usahawan bumiputera itu akan dipertanggungjawabkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC).

“Kerajaaan harus memberi dokongan dan sokongan bagi mencipta lebih ramai usahawan bumiputera seperti Aerodyne yang berjaya menembusi pasaran global dalam perkhidmatan dron.

“Kita juga mesti berbangga dengan syarikat bumiputera seperti Les Copaque dan Animosta yang menggunguli karya kreatif selain kejayaan usahawan muda Khairul Aming,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan juga bersetuju mewujudkan Tabung Wakaf Mara Madani dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun yang akan diterajui oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Anwar berkata, Tabung Wakaf Mara Madani itu akan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran Mara dan ia dijangka akan memberi manfaat kepada 70.1 peratus rakyat bumiputera sekali gus memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan, keusahawanan dan pengangkutan.

“Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga telah memberi limpah perkenan untuk menjadi penaung kepada sistem wakaf ini dan prestasi Wakaf Mara Madani akan dilaporkan secara berkala kepada Majlis Raja-Raja Melayu,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham seperti Wakaf ASNB dan Waqaf An-Nur di bawah Johor Corp.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju menyediakan Skim Perumahan Madani di tanah rizab Melayu dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik dalam kadar segera.

“Kerajaan juga akan memastikan pemilikan sejumlah 200 ekar tanah kerajaan, termasuk 50 ekar tanah di bandar Malaysia kekal dimiliki orang Melayu bagi menjamin ketersediaan perumahan mampu milik untuk Melayu supaya kekal di kawasan pusat bandar,” katanya.

Sebagai tambahan kepada menyokong institusi TVET tempatan, Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan dengan kerjasama GLIC, GLC serta badan-badan swasta terpilih memberi komitmen melatih seramai 100,000 pelatih TVET dalam tempoh lima tahun termasuk menyediakan tawaran pekerjaan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.

“Syarikat yang terlibat termasuk Petronas (industri minyak dan gas), Sime Darby (perladangan), MRCB (pembinaan), TNB (tenaga boleh baharu) dan Telekom Malaysia (digital).

“Maka, saya seru semua pihak untuk merangkul seluruh kekuatan dan tenaga, bagi kita mencapai sasaran untuk melatih serta menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji setimpal kepada 100,000 pelatih,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan juga akan mengkhususkan dana pembiayaan kredit mikro bumiputera sehingga RM1 bilion melalui institusi Kewangan Pembangunan seperti BSN, Agrobank, dan Tekun Nasional.

“Ia bagi menyediakan sokongan kepada pelbagai segmen usahawan bumiputera termasuklah wanita, belia dan veteran tentera serta penjaja, pekerja gig dan pengusaha trak makanan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju mewujudkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak pekerja gig yang kini mencecah seramai 1.12 juta orang, terutamanya dari segi keperluan perlindungan sosial, pertikaian kontrak serta kemajuan kerjaya.

“Langkah ini adalah perlu mengambil kira semakin ramai dalam kalangan belia bumiputera yang melibatkan diri dalam pekerjaan gig,” katanya.

Bagi mendukung pembangunan vendor tempatan pula, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan akan menambah baik insentif cukai serta menyediakan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta bagi menggalakkan lebih banyak syarikat swasta melaksanakan program pembangunan vendor.

“Usaha ini dijangka dapat memanfaatkan sehingga 10,000 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan terutama usahawan bumiputera selain ia turut juga dibuka untuk membimbing misalnya PMKS kaum India,” katanya.

Jelasnya lagi, bagi memartabat dan menyokong hasil seni pengusaha tempatan, Anwar berkata, bermula hari ini semua jabatan dan agensi kerajaan serta GLC hanya dibenarkan membeli sebagai cenderahati hasil seni yang diusahakan oleh pengusaha bumiputera.

Anwar berkata, pemantauan inisiatif ini akan dilakukan Majlis Ekonomi Bumiputera yang akan dipengerusikan oleh beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI