fbpx

‘Bekalan darah lebih, tapi jangan selesa sangat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Dzulkefly beramah mesra dengan penderma darah pada Majlis Perasmian Suite Derma Darah St. John Ambulans Malaysia di One Utama, Petaling Jaya hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

PETALING JAYA – Negara memerlukan kira-kira 500,000 beg darah setahun atau 2,000 beg darah sehari untuk pesakit yang memerlukan dan jumlah itu boleh ditampung berikutan bekalan sedia ada melebihi keperluan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan bekalan sedia ada, lebih 800,000 beg darah berjaya dikumpulkan untuk keperluan rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, kita tidak mahu selesa sebab dalam keadaan tertentu, kita memerlukan (bekalan darah). Jadi kita sentiasa menjalankan kempen menderma darah ini.

“Pastinya kita mahu mereka yang mula menderma menjadi penderma tegar. Adalah sangat baik kerana inilah wira-wira yang kita harapkan (wira yang tidak didendang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Suite Derma Darah St. John Ambulans Malaysia (SJAM) di pusat beli-belah 1 Utama, Bandar Utama di sini hari ini.

Dr. Dzulkefly berkata, pada masa ini, nisbah penderma darah negara ialah 23 penderma dengan 1,000 penduduk, namun ia perlu ditingkatkan kepada 30 hingga 35 penderma menjelang 2030.

Katanya, sehubungan itu, usaha menggalakkan pendermaan darah perlu ditingkatkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terutama golongan muda.

“Jadi kita kena menggembleng usaha, berganding bahu bersama pelbagai pihak dalam meningkatkan kesedaran menderma darah. Malah, kerjasama turut dialu-alukan termasuk menawarkan premis atau ruang seperti di pusat beli-belah untuk derma darah.

“Pembukaan tempat menderma di pusat beli-belah bukan sahaja dapat memberi pendidikan, tapi menggalakkan masyarakat setempat terutama belia untuk menjadi penderma tegar yang komited dan konsisten,” katanya.

Selain Suite Derma Darah di pusat beli-belah 1 Utama, SJAM telah membuka premis menderma darah di IOI City Mall, Putrajaya selain bakal membuka satu lagi di Ipoh, Perak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI