TURIN – Bekas pemain antarabangsa Perancis, Paul Pogba mengakui tidak percaya apabila dikenakan hukuman gantung empat tahun daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak selepas gagal dalam ujian doping tahun lalu.
Pada September lepas, pemain berusia 31 tahun itu telah digantung sementara selepas Agensi Anti Doping Itali (NADO Italia) yang mengesahkan dia positif bahan terlarang jenis testosterone sebelum keputusan rasmi dikeluarkan kelmarin.
Pogba dalam satu kenyataan masih percaya dirinya tidak bersalah dan hukuman yang diberi oleh NADO Italia sememangnya menjejaskan kariernya seratus peratus.
Kata Pogba, buat masa ini fokus utama adalah untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dengan mengemukakan rayuan rasmi dalam masa terdekat.
“Ini adalah hari yang mengecewakan buat saya selepas melihat hukuman yang diberikan selain tuduhan yang tidak tepat. Saya sangat sedih kerana reputasi yang saya bina selama bergelar pemain profesional hilang begitu sahaja.
“Sebagai atlet profesional, saya tidak akan sesekali mengambil bahan terlarang, tetapi saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan balas sekarang sebaliknya apabila saya sudah bebas daripada hukuman, segalanya akan terjawab.
“Kini, saya mahu menghantar rayuan dahulu ke CAS dan harap dapat bersihkan kembali nama saya yang tercalar ketika ini,” kata Pogba yang masih memiliki kontrak bersama Juventus sehingga musim 2026.
Pogba telah berhijrah ke Juventus secara percuma daripada kelab Manchester United pada tahun 2022. – AGENSI