fbpx

‘Ustaz saya nak balik, boleh carikan ibu bapa saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dimuat naik di akaun Facebook Maahad Tahfiz Al Quran Al Uzma memaparkan pelajar berusia 14 itu termenung menantikan kedua ibu bapanya.

PETALING JAYA – ‘Ustaz, cuti sekolah ni saya ingat nak balik, boleh telefon atau carikan ibu bapa saya?’

Demikianlah luahan seorang remaja lelaki 14 tahun yang masih menunggu ibu bapanya datang menjemput dari asrama pusat tahfiz untuk balik bercuti.

Menurut pengasas Maahad Tahfiz Al Quran Al Uzma, Mohd. Romuza Abd. Ghani, sudah bermacam-macam cara telah dilakukan untuk menghubungi ibu bapa pelajar terbabit namun gagal.

Katanya yang juga seorang mudir, kali terakhir beliau menelefon bapa pelajar tersebut adalah pada raya haji tahun lalu manakala ibu kandungnya tidak pernah dapat dihubungi sejak remaja itu dihantar.

“Pelajar ini didaftarkan masuk ke sini oleh ayahnya sejak usia sembilan tahun. Bila musim cuti sekolah, kawan-kawan semua balik, dia mesti tanya ‘ustaz, dapat ke hubungi ayah saya’.

“Bukan kami tak pernah cari, dah bermacam-macam cara kami buat. Sampai pergi tanya orang terdekat. Ayahnya sering bertukar nombor telefon baru setiap bulan dan dia juga tak ada alamat yang tetap.

“Bukan putus asa, tapi macam pihak kami yang bersungguh-sungguh sedangkan tanggungjawab adalah pada ibu bapanya yang masih hidup,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Mohd. Romuza, dalam kalangan 35 pelajar di sekolah yang terletak di Kota Bharu, Kelantan itu, hanya ibu bapa seorang remaja ini sahaja yang sukar dihubungi.

Terdahulu, perkongsian dua keping gambar pelajar tersebut yang diambil daripada bahagian belakang tular di media sosial sehingga mendapat tanda suka lebih 4,300.

Di dalam gambar itu, pelajar tersebut kelihatan termenung sayu kerana dia terpaksa tinggal di sekolah terbabit sedangkan rakan-rakannya pulang ke rumah pada musim cuti sekolah.

Ekoran itu, ramai yang meninggalkan komen ingin menziarahi pelajar terbabit selain berhajat untuk menjadikan remaja lelaki itu sebagai anak angkat.

Jelas Mohd. Romuza sejak dia membuka maahad itu pada 2016, dia tidak pernah membuka permohonan pengambilan anak-anak angkat walaupun ada pelajarnya terdiri daripada anak yatim atau yatim piatu serta asnaf.

“Saya alu-alukan kalau orang ramai nak datang ziarah. Macam pelajar yang tular ni pun, ramai dah nak menziarahi dia dua tiga hari ni. Tapi niat saya muat naik gambar tu bukanlah untuk meminta sumbangan. Hanya ingin berkongsi kisah.

“Untuk pengambilan anak angkat memang saya tak buka, sebab semua anak-anak ni di bawah tanggungjawab saya. Saya tak kisah waris tak dapat nak ambil musim cuti sekolah, asalkan bertanyalah khabar pada anak.

“Saya mohon kepada ibu bapa pelajar ini untuk datanglah, melawat anak sendiri. Laksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Moga perkongsian saya jadi iktibar kepada masyarakat untuk lebih saling prihatin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI