SEGAMAT – Sambutan Hari Tentera Darat Ke-91 hari ini disambut meriah apabila lebih 10,000 orang dari seluruh pelosok negara membanjiri Dataran Segamat pagi ini.
Dengan membawa tema sambutan Hari Tentera Darat kali ini, Gagasan Tentera Darat dan Rakyat, Kekal Siaga, pasukan tersebut melakar sejarah meraikan penubuhannya yang berusia 91 tahun di daerah ini.
Seramai 38 pegawai dan 1,244 anggota lain-lain pangkat yang terdiri daripada 6 Detasmen perbarisan daripada elemen perkhidmatan darat termasuk kontinjen wanita terbabit dalam perbarisan yang bermula pada pukul 8 pagi itu.
Perbarisan yang diketuai Leftenan Kolonel Mohd.Shahrul Hamidon dari Batalion ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) itu turut diserikan dengan peragaan 78 aset Angkatan Tentera Darat (ATD) antaranya kereta kebal PT 91 Pendekar, meriam 155MM, kenderaan Lipan Bara, kereta perisa Gempita dan Sistem Roket Lancar Berganda (SRLB) Astros 11.
Tidak ketinggalan pertunjukan payung terjun aras tinggi oleh enam anggota Rejimen 11 Kor Grup Gerak Khas (GGK) selain lintas hormat udara oleh lima helikopter Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Pegawai Tabik Hormat adalah Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan. Beliau yang merupakan anak jati Segamat, Johor mengambil alih jawatan sebagai PTD yang ke-30 pada September tahun, lalu.
Beliau turut menyampaikan Pisau Tentera Darat serta Penganugerahan Sijil Keberanian kepada Koperal Ronald anak Manchik yang menyelamatkan mangsa lemas di Pantai Kem Trendak, Melaka pada 13 Oktober tahun lalu.
Hadir sama Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Sofi Md. Lepi dan Ketua Polis Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah. – KOSMO! ONLINE