PETALING JAYA – Pelakon Nam Ron tidak kisah digelar lelaki miang selepas melakonkan adegan yang dianggap ‘softporn’ atau lucah ringan di dalam filem La Luna.
Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan ketika ditemui berkata, wataknya sebagai Ayob dalam filem tersebut, hanyalah sebuah watak rekaan dan bukan melambangkan dirinya yang sebenar.
“Tak mengapa orang nak cakap saya pelakon gatal atau sebagainya, saya okey sahaja. Saya kenal siapa diri saya. Saya juga tidak seperti yang digambarkan dalam filem itu (La Luna)
“Jadi orang nak beri saya gelaran apa pun, saya terima,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis sidang media pelancaran album Satwo, di sini, baru-baru ini.
Pada masa sama, pelakon berusia 55 tahun itu terbuka dalam menerima setiap pandangan penonton yang menyaksikan adegannya dalam filem arahan M. Raihan Halim itu yang disifatkan agak keterlaluan, sehingga dituduh mempersendakan agama.
“Mungkin watak yang saya bawakan dalam La Luna buruk di mata sesetengah penonton. Namun bagi diri sendiri, saya berjaya bawakan watak tersebut walaupun orang tidak suka.
Pada masa sama, pemenang trofi Pelakon Filem Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-29 itu turut berpendapat bahawa, penonton Malaysia belum terbuka untuk menerima paparan sedemikian dalam sesebuah karya.
“Apa yang boleh saya katakan, kita menonton filem sebagai sebuah filem. Kadang-kadang kita terfikir lebih sangat. Kita fikir filem ini ada agenda tersembunyi dan sebagainya.
“Sedangkan perkara itu (agenda tersembunyi) tidak wujud sama sekali pun. Ketika kita menghasilkan sesebuah naskah, kita tidak terfikir pun untuk membawa sebarang agenda dan sebagainya.
“Sekadar ingin bercerita saja. Namun, tidak dinafikan ada kalanya mungkin ada juga pihak yang tidak dapat menerima. Tetapi, kalau kita lihat hanya dari sudut hiburan, filem ini bercorak komedi saja,” katanya.
Terdahulu, La Luna yang ditayangkan di pawagam sejak November tahun lalu, mendapat kecaman netizen sejak filem tersebut disiarkan menerusi platform penstriman, Netflix pada 9 Februari lalu.
Dalam filem tersebut, Namron membawakan watak pembantu sebagai Ayob dan bergandingan dengan Farah Ahmad sebagai isterinya bernama Enah.
Filem yang mengisahkan tentang penjual baju dalam, lakonan Sharifah Amani itu memaparkan beberapa adegan kurang senang, termasuk aksi ‘mesra’ Ayob dan Enah ketika di dalam surau. – KOSMO! ONLINE