fbpx

Pembawa mohon caj CTS dikurangkan dari 10 kepada 5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Laili (tengah) pada sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) meminta campur tangan kerajaan supaya menyelesaikan isu Sistem Tiket Berpusat (CTS).

Ini kerana kata Yang Dipertua Pembawa, Laili Ismail, rata-rata pengusaha bas tidak mampu menanggung kos 10 peratus atau purata RM5 untuk sekeping tiket yang dikenakan kepada pengusaha bas ketika ini melalui pembelian tiket di terminal.

Jelasnya, melalui caj itu juga rata-rata pengusaha memperuntukkan ratusan ribu ringgit sebulan untuk tujuan komisen sahaja tidak termasuk kos-kos lain.

“Bukan itu sahaja, pengusaha juga diwajibkan membayar caj masuk terminal yang menelan belanja sekitar RM13,000 ke RM18,000 sebulan bagi setiap syarikat pengusaha.

“Berbanding sebelum ini, pengusaha hanya perlu membayar sewa kedai untuk menyediakan kaunter jualan dan membayar gaji jurukaunter yang menelan belanja sekitar RM5,000 sahaja pada setiap bulan.

“Jadi, kami minta supaya caj 10 peratus yang dikenakan ketika ini dapat dikurangkan kepada lima peratus amat membantu kami ketika ini,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini hari ini.

Lebih membebankan kata Laili, pihak pengendali CTS juga gagal menjelaskan pembayaran hasil jualan tiket dalam tempoh masa yang sepatutnya.

“Kami terpaksa menunggu wang kami dalam masa tujuh hari dan lebih teruk lagi memakan masa sehingga 19 hari.

“Amalan pembayaran yang tidak sistematik yang diamalkan CTS ini telah mengganggu urusan operasi syarikat pengusaha yang tidak dapat membuat pusingan modal kerana wang tidak diterima dalam tempoh yang sepatutnya.

“Seharusnya tidak timbul isu lewat bayar kerana hasil jualan mereka adalah secara tunai ataupun melalui transaksi bank. Mereka menerima wang daripada pembeli sejurus sahaja tiket berjaya dijual,” ujarnya.

Justeru, Laili memohon kerjasama pihak kerajaan agar mula campur tangan dan mengetatkan penguatkuasaan dalam memastikan pengurusan CTS berada pada landasan yang sepatutnya.

“Pihak kerajaan boleh menetapkan satu garis panduan khusus untuk rujukan CTS dan memastikan tidak ada mana-mana pihak yang akan terkesan melalui pelaksanaan CTS sebagaimana yang diamalkan kini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI