CANBERRA – Berpuluh-puluh bangkai ikan jerung ditemui terdampar di sebuah pantai peranginan di Pulau Stradbroke Selatan dalam negeri Queensland, Australia baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.
Menurut seorang jurucakap jabatan perikanan, pihaknya akan menyiasat punca kejadian aneh tersebut.
“Anggota Penguat Kuasa Perkapalan dan Perikanan Queensland telah dikerah untuk menyiasat sama ada laporan mengenai penemuan bangkai jerung berkenaan merupakan insiden terbaharu atau sebaliknya.\
“Kami juga akan menyiasat sama ada ikan jerung yang dibuang itu adalah tangkapan sampingan yang tidak dikehendaki oleh nelayan,” katanya.
Selain itu, jurucakap tersebut berkata, sebuah pasukan penyiasat turut dihantar ke tempat kejadian bagi melihat sama ada terdapat unsur jenayah dalam insiden tersebut.
Beberapa gambar yang dikongsi di laman sosial Instagram menunjukkan sejumlah bangkai jerung tersebut terdampar di pantai dalam keadaan yang menyayat hati.
Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan kejadian itu merupakan satu bencana, manakala sesetengah netizen berkata, ikan-kan tersebut mungkin ditangkap untuk dijadikan kepingan ikan dalam hidangan ikan dan kentang goreng (fish and chips).
Beberapa hari sebelum penemuan puluhan bangkai haiwan marin tersebut, seekor jerung putih turut dijumpai di sebuah kawasan pantai berbatu di bandar Point Lowly, negeri Australia Selatan.
Jerung yang dijumpai pada Selasa lalu itu dipercayai dicederakan oleh seorang nelayan tempatan sebelum membiarkannya berdarah dan mati.
Ikan jerung putih merupakan haiwan dilindungi di Australia dan individu yang didapati menangkap hidupan laut itu boleh dikenakan denda sehingga A$10,000 (RM30,145). – Agensi