SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri yang juga orang kelainan upaya (OKU) dan uzur memerlukan bantuan orang ramai untuk membaiki rumah mereka yang reput akibat dimakan anai-anai di Kampung Bukit Kechil, Juru di sini.
Pasangan itu, Roslan Mat, 68 dan isterinya, Laseah Hashim, 64, tinggal di rumah kayu dua tingkat tersebut bersama anak lelaki, Mohd. Muzamir Shahril, 29, yang juga OKU pembelajaran.
Roslan berkata, kediaman yang didiami sejak 60 tahun lalu itu mula mereput sejak tahun 2021 terutama di tingkat atas.
“Sebelum ini, ada jiran dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Kechil Juru membantu membaiki rumah ini, namun tidak banyak (yang dibaiki).
“Bahagian atas (papan sepenuhnya) sudah tidak boleh didiami lagi disebabkan anai-anai bersarang. Yang kami bimbang sekiranya musim hujan atau ribut.
“Saya risau jika bumbung atau bahagian lantai (tingkat atas) yang reput menghempap kami. Saya dan isteri sudah tua dan uzur,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Bapa empat anak itu memberitahu, dia sudah tidak mempunyai kudrat untuk bekerja kerana kehilangan kaki kanan akibat kencing manis pada 2015. Laseah pula menghidap penyakit buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis setiap minggu.
“Sejak kaki dipotong, hidup ini bagaikan kelam bukan sahaja tidak dapat bekerja, malah tidak bebas bergerak seperti sebelum ini. Segala perbelanjaan bergantung kepada duit zakat RM450, Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 serta pencen RM200.
“Anak-anak pula sudah berkeluarga. Saya faham situasi kewangan mereka,” katanya.
Pasangan itu turut menerima kunjungan MPKK Bukit Kechil Juru yang diwakili Pengerusinya, Hashim Din.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Maybank milik Roslan bernombor 1020 3672 2698.