PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas di beberapa tempat dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius terutama di utara Semenanjung dan Sabah, minggu ini.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, hujan berserta ribut petir berpotensi berlaku mulai hujung minggu ini di beberapa lokasi di pedalaman dan barat Semenanjung.
“Keadaan ini boleh meredakan cuaca panas di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang di kawasan tersebut terutama pada sebelah petang dan boleh berlarutan hingga ke awal pagi,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE