JAGUH berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan beraksi pada Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2024 di Hong Kong bermula 15 ini.
Ia adalah kejohanan terakhir nya sebelum berlepas ke Australia bagi mengikuti kem latihan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelumba yang diberi julukan The Terminator itu menganggap kejohanan kompetitif tersebut amat penting bagi memastikan prestasinya terus berada pada tahap terbaik.
Atlet berusia 28 tahun itu berkata, dia berjaya mengesahkan kedudukan ke Olimpik Paris 2024 setelah meraih pingat gangsa acara pecut lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India minggu lalu.
“Saya akan ke Hong Kong bagi menyertai Nations Cup (Piala Negara-Negara UCI). Ini adalah perlumbaan terakhir untuk ke Olimpik Paris memandangkan dari segi pungutan mata, saya telah mengesahkan kedudukan ke temasya sukan itu.
“Kemudian saya akan mengikuti kem latihan di Australia sebagai persiapan ke Olimpik Paris. Sebulan sebelum temasya sukan itu bermula, saya akan ke Mallorca, Sepanyol untuk kem latihan fasa akhir,” katanya.
Anak jati Muar itu turut dinobatkan pemenang Anugerah Olahragawan Johor menewaskan jaguh angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dan pemain badminton perseorangan lelaki, Ng Tze Yong pada Majlis Anugerah Sukan Johor ke-30 kelmarin.
Pemenang pingat gangsa keirin dan pecut Sukan Asia Hangzhou itu berkata, ada beberapa perkara perlu diperbaiki supaya tidak menjejaskan peluangnya pada Olimpik Paris 2024 yang bermula 26 Julai depan.
“Saya perlu ambil pengajaran pada ACC di India baru-baru ini menyebabkan tidak layak ke pusingan akhir bagi acara keirin. Saya tidak sedar pelumba Kazakhstan membenarkan pelumba China menjarakkan diri di depan.
“Saya tak jangka dia melakukan perkara itu hingga jejas peluang untuk ke pusingan akhir. Itu kesilapan saya juga dan tidak akan membenarkan ia berlaku di Olimpik Paris nanti,” katanya.
Ditanya kemungkinan berkongsi pentas Sukan Olimpik terakhir dengan Datuk Azizulhasni Awang, katanya, dia tidak ada masalah untuk menjadi ‘korban’ bagi membantu pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu.
“Saya bersama Azizulhasni sudah lama baik di peringkat Asia mahupun dunia, macam-macam cara kita cuba buat dan harapnya Olimpik Paris nanti kami sama-sama dapat layak ke final.
“Kita akan lihat sama ada salah seorang kena korban dan kita akan buat. Apa-apa boleh jadi dan kita tak tahu apa yang akan berlaku masa perlumbaan itu nanti,” ujarnya.