AMPANG – Akibat gagal mengambil langkah munasabah terhadap anjing peliharaan sehingga haiwan itu mencederakan jirannya, seorang lelaki yang juga pemilik didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Yee Chan Fai, 37, selaku orang kena saman (OKS) selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda dan OKS membayar denda berkenaan.
Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Hakim Wan Mohd. Norisham berkata, OKS sepatutnya mengawal dan mengikat anjing dalam pagar rumah supaya ia tidak mencederakan orang awam.
“Kamu seharusnya tidak mengabaikan anjing itu dan membiarkan pagar terbuka sehingga ia mengejar dan mencederakan orang lain.
Dalam kes ini, pengadu yang juga mangsa mengalami kecederaan dan alami kerugian kerana perlu membayar denda, (sedangkan) anjing itu yang mencederakannya, kerana sifat cuai kamu,” kata hakim itu.
Mengikut pertuduhan, Chan Fai didakwa gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan keperluan haiwan itu dipenuhi sehingga menyebabkan kecederaan kepada individu lain, di sebuah rumah di Taman Saga di sini pukul 8.30 pagi pada 24 Mei 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 24 (1)(a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(3) akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan tidak lebih RM75,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu semasa prosiding, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap OKS dengan mengambil kira faktor keselamatan orang awam dan pengajaran kepada pemilik anjing yang lain.
Sementara itu, peguam, Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili OKS, merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda yang ringan atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapa, kakak serta dua anak berusia enam dan lapan tahun. – KOSMO! ONLINE