KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sehingga kini tiada seorang pun wakil pembangkang bersuara sebagai tanda sokongan terhadap usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani kegiatan rasuah di negara ini terutama melibatkan golongan ‘maha kaya’.
Menurut Anwar, pembangkang masih membisu dan lebih buruk lagi apabila ada dalam kalangan mereka yang membela tokoh besar tersebut kemudian menuduhnya bertindak kerana sifat dendam.
“Saya lihat di Parlimen, pembangkang mengelupur seolah-olah marah, benci dan tak ada suara pembangkang yang sokong langkah membanteras rasuah. Bagi saya aneh.
“Saya semasa menjadi pembangkang, bila ada cadangan pemerintah mengenai usul SPRM, saya dukung. Malah saya kata belum cukup berani (tindakan diambil kerajaan).
“Baru-baru ini ada tindakan SPRM terhadap salah satu tokoh besar yang dianggap paling maha kaya. Belum ada suara daripada pembangkang (tanda sokongan),” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di sini, hari ini.
Tegas Anwar, sesiapa sahaja yang terlibat dengan korupsi perlu diheret ke muka pengadilan meskipun mereka tidak lagi berada dalam pemerintahan kerajaan.
“Saya nak tanya saudara kalau hari ini saya kumpul RM10 bilion, masuk poket saya dan saya gunakan untuk kayakan diri keluarga, dan harta seluruh dunia. Kemudian tujuh tahun kemudian bersara atau lebih awal, saya tidak boleh disentuh kerana kalau disentuh, haa…ini dendam. Sudahlah, dia pun dah tua.
“Inilah penyakit yang akan menjalar akan melemah longlaikan semangat bangsa. Kita harus beri mesej yang jelas, kamu rompak harta negara, kamu curi wang rakyat, tak dapat tangkap hari ini, esok kita tangkap. Tak dapat esok, bulan depan. Tak dapat bulan depan, tahun depan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE