MEDELLIN, COLOMBIA – Sebuah helikopter membawa empat pelancong berputar-putar di ruang udara selama beberapa saat sebelum terhempas dan tersangkut di tepi bangunan, lapor akhbar The Sun.
Dalam kejadian kelmarin, helikopter itu dirakam berlepas dari bumbung sebuah bangunan di bandar Medellin, Colombia.
Sejurus berada di ruang udara, ia berpusing selama beberapa saat sebelum hilang kawalan lalu menjunam ke arah sebuah bangunan lain pada jarak beberapa meter.
Helikopter jenis Bell 206 dikendalikan dua juruterbang itu kemudian tersangkut pada antena komunikasi dan tergantung dalam keadaan hampir terbalik.
Lebih 70 anggota penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum semua enam orang yang berada di dalamnya disahkan selamat.
Salah seorang juruterbang mengalami patah kaki dan dibawa ke hospital terdekat, manakala pembantu juruterbang dan empat pelancong lain cedera ringan.
Pihak berkuasa masih menyiasat insiden tersebut. – AGENSI