fbpx

Kesesakan dijangka lebih teruk di bulan puasa – Pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SEJAK cuti sekolah bermula pada 9 Februari lalu, ramai ibu bapa menarik nafas lega kerana tidak perlu keluar awal dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Aliran trafik di ibu kota juga lancar pada minggu pertama dan kedua berkemungkinan disebabkan ramai yang keluar pergi bercuti.

Memasuki minggu ketiga, aliran trafik kembali sesak, perjalanan yang sepatutnya memakan masa 30 minit menjadi lebih sejam. Ia berdasarkan pengalaman penulis yang terpaksa berdepan kesesakan tanpa mengira masa.

Senario ini membuatkan penulis tertanya-tanya adakah orang ramai perlu menempuh situasi sama pada Ramadan ini.

Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr. Rozmi Ismail menjangkakan kesesakan lalu lintas akan lebih memburuk pada bulan puasa kira-kira dua minggu lagi.

Ini ekoran pertambahan kenderaan di jalan raya lebih-lebih lagi sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula sehari sebelum itu.

“Sebenarnya, ini (kesesakan) bukan sesuatu yang baharu. Trafik memang akan sesak lagi-lagi pada musim perayaan, tambah pula buka sekolah.

“Bagi yang mampu, ibu bapa boleh membayar tambang van sekolah. Bagi yang tidak berkemampuan mereka akan ambil dan hantar anak sendiri. Bayangkan kalau ada 50 buah keluarga,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Rozmi, punca utama kesesakan lalu lintas pada bulan puasa adalah disebabkan pertindihan waktu kerja yang sama di kebanyakan pejabat.

Justeru, beliau mencadangkan agar pihak majikan mempertimbangkan untuk mengadakan waktu kerja yang lebih fleksibel pada bulan Ramadan.

“Di negara-negara Islam lain, bulan Ramadan pekerja diberi pelepasan enam jam bekerja berbanding lapan jam.

“Kesesakan lalu lintas yang melampau akan menjejaskan amalan untuk kita beribadah. Bila kita stres kita akan jadi marah, pahala puasa pun berkurangan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Rozmi berkata, produktiviti seseorang pekerja turut akan terjejas apabila berdepan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Katanya, selain masa banyak terbuang atas jalan raya, kualiti serta kesejahteraan hidup pekerja akan terganggu sekali gus mendorong seseorang individu cenderung untuk hidup dalam tidak terurus.

“Contohnya pergi dua jam, balik dua jam. Jadi empat jam sudah terbuang atas jalan. Sedangkan banyak perkara berfaedah boleh dilakukan.

“Sampai pejabat sudah keletihan, sampai rumah pun letih. Tak dapat masak dan beribadah dengan keluarga. Mood yang tidak baik menjejaskan produktiviti.

“Bila tiba di pejabat dimarahi sebab kerja tertunggak kerana sampai lambat atau tidak sempat disiapkan. Semua ini akan menjadikan kualiti hidup seseorang pekerja itu akan terganggu,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI