JAKARTA – Sebuah kejiranan di Cikarang, wilayah Jawa Barat yang dikenali sebagai ‘bilik sewa 1,000 pintu’ kini terbiar dan berada dalam keadaan menyeramkan meskipun pernah popular suatu masa dahulu, lapor portal berita Okezone.
Berdasarkan rakaman video terbaharu yang dimuat naik dalam akaun TikTok @Vanesdoy, deretan bilik sewa tersebut terbiar selama lebih 10 tahun selepas kes pembunuhan berlaku di situ.
Bilik sewa 1,000 pintu mendapat gelaran demikian disebabkan binaannya mempunyai banyak bilik di kiri dan kanan bangunan, serta dibina dalam keadaan memanjang.
Menurut perakam video tersebut, penghuni bilik sewa 1,000 pintu mula berpindah keluar dari situ selepas banyak kejadian misteri berlaku.
“Pernah terjadi kes pembunuhan,” kata perakam video tersebut.
Deretan bilik sewa tersebut berada dalam keadaan terbiar dan dipenuhi lalang serta tumbuhan liar lain.
Dinding bangunan juga mengelupas selain ada bumbung yang tercabut.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen termasuk mereka yang pernah menetap di situ.
“Saya pernah menyewa di situ. Pada waktu malam, ada kejadian pintu diketuk. Namun apabila dibuka, tiada sesiapa di luar. Hampir setiap malam ketukan misteri ini berlaku,” kata seorang netizen.
“Pernah ada kejadian pembunuhan di situ. Disebabkan itu, tiada yang berani (menetap). Masalahnya setiap malam ada yang mengetuk pintu bilik,” kata neizen lain. – AGENSI