fbpx

Muhyiddin kembali ke Mahkamah Sesyen, hadapi 4 tuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin (kanan) ketika hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. Foto Faisol Mustafa/Kosmo!

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan empat pertuduhan ke atas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta adalah kekal.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan rayuan pendakwa raya agar kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S. M. Komathy Suppiah.

Dengan keputusan itu, panel berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang melepas dan membebaskan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu daripada empat pertuduhan tersebut.

Terdahulu, semasa menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Hakim Hadhariah berkata, keempat-empat pertuduhan terhadap responden adalah jelas.

Muhyiddin, 77, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga syarikat dan seorang individu bagi Bersatu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Oleh itu, Muhyiddin didakwa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Pada 15 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Muhyiddin atas empat pertuduhan tersebut.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata permohonan yang diputuskan mahkamah hanya berkenaan dengan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM, tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 masih kekal.

Idrus memberi kenyataan itu ketika merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan seterusnya memerintahkannya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan predikat tersebut.

Sebelum ini, Hakim Muhammad Jamil melepaskan dan membebaskan Muhyiddin setelah mendapati keempat-empat pertuduhan dihadapi adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI