KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil pihak yang terlibat dalam perhimpunan #Reformasi100Peratus yang berlangsung berhampiran bangunan Parlimen, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, siasatan berkenaan himpunan itu disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Laporan telah dibuat dan kertas siasatan telah dibuka berkaitan himpunan berkenaan. Polis juga akan memanggil pihak yang terlibat dalam himpunan terbabit dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Allaudeen menegaskan, proses pemakluman berhubung perhimpunan perlu diadakan lima hari sebelum program berlangsung.
“Kita tiada masalah, semua ada hak dan perkara itu terjamin dalam undang-undang yang diperuntukkan.
“Bagaimanapun, kita nak ingatkan ikutlah saluran dan proses yang betul, perlu maklum lima hari sebelum program atau himpunan diadakan dan disertakan dengan segala dokumen berkaitan termasuk kebenaran tuan punya tanah dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, tanggungjawab polis adalah sebagai pemudahcara serta memastikan kelancaran semua pihak dalam setiap apa yang hendak dijalankan.
“Kena ingat, bila kita bicara tentang hak, dan hak kita ada hak orang lain juga di dalamnya, polis perlu mengatur gerak dari segi anggota dan sebagainya.
“Bukannya bila kata nak himpun terus berhimpun, perlu ada prosesnya dan ikut saluran yang betul,” katanya.
Semalam, perhimpunan yang diketuai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu berarak dari Plaza Tugu Negara ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum tuntutan reformasi kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan. – KOSMO! ONLINE.