KULIM – Seorang buruh ladang yang disyaki terlibat dalam kes menyerang seorang pemandu lori sehingga maut di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai, di sini Ahad lalu direman selama tujuh hari.
Perintah reman ke atas suspek berusia 31 tahun yang bermula hari ini dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Mirza Mohamad.
Siasatan ke atas suspek dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.
Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Kulim kira-kira pukul 8.30 pagi dengan berpakaian baju lokap berwarna jingga.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, lelaki berasal dari Kuala Ketil itu mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu kes rusuhan bersenjata dan mendatangkan cedera.
“Hasil siasatan mendapati tangkapan ini ada kaitan dengan balas dendam sehingga menyebabkan serangan terhadap mangsa ,” ujarnya
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut selepas diserang dua lelaki bersenjatakan parang dan sabit di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai. – KOSMO! ONLINE