KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat kecoh apabila pembangkang membantah kebenaran diberi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyampaikan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong semasa persidangan sedang berlangsung.
Pembangkang mendakwa kebenaran diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul itu sebagai sesuatu yang luar biasa kerana perkara tersebut tidak terkandung dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat serta melanggar peraturan mesyuarat.
Berikutan itu Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat sebagai protes terhadap perkara berkenaan sejurus Johari mengarahkan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama empat hari.
Perdana Menteri bagaimanapun menyifatkan bantahan kuat oleh pembangkang tersebut adalah kerana dendam kesumat dan cemburu buta.
“Saya bantah keras sikap pembangkang keluar tatkala kita hendak ucapkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang lalu.
“Pembangkang membantah ini menunjukkan sikap tidak sopan dan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong. Inilah masalahnya dalam negara kita ini, selepas dengar titah Yang di-Pertuan Agong pun tidak faham kerana dendam kesumat dan cemburu buta,” kata Anwar.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Ahli Parlimen pembangkang bukan tidak setuju dengan ucapan tersebut, tetapi mendakwa ia dilakukan melalui penyalahgunaan kuasa majoriti yang ada pada kerajaan dalam Dewan Rakyat.
“Jangan kita buat sebegitu rupa. Kalau kata hendak rafak sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong buatlah tadi. Tiba-tiba tengah-tengah (persidangan) terhenti sebab (Perdana Menteri) hendak ucap terima kasih fasal apa.
“Kita bukan hendak membangkang sahaja, tetapi kita hendak ikut peraturan yang ada. Siapa kata kami tidak sayang kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Yang Dipertua Dewan Rakyat namun menarik balik perintah melarang Awang daripada memasuki dewan persidangan selama empat hari selepas keadaan persidangan kembali tenang.
Johari bersetuju menarik balik perintah itu selepas Ketua Pembangkang menohon memberi kelonggaran kerana Awang menarik balik kata-katanya termasuk meminta maaf. – KOSMO! ONLINE