LANGKAWI – Kerajaan tidak berhasrat untuk mengenakan caj tambahan kepada penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) selepas kerja naik taraf lapangan tersebut siap nanti.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan akan mengurangkan caj pengguna (user fee) yang perlu dibayar oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepadanya.
“Di bawah perjanjian operasi (OA) antara kerajaan dan MAHB, MAHB perlu membayar sejumlah user fee kepada kerajaan. Jadi apabila kita meminta MAHB untuk menaik taraf lapangan terbang, ada sebahagian caj yang akan dikurangkan bagi menampung kos naik taraf tersebut.
“Tetapi di bawah perjanjian operasi baharu kita juga mempunyai Dana Pembangunan Lapangan Terbang (Airport Development Fund (ADF)), dan sekiranya perlu kita akan menggunakan ADF sebagai sebahagian dana untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya semasa sidang akhbar program Routes Asia di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Matsirat, di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan, kos sebenar kerja naik taraf lapangan terbang tersebut juga hanya akan dimuktamadkan selepas proses pemberian tender selesai, dan sedang menunggu pengesahan mesyuarat Kabinet akan datang.
Tambahnya, proses pemberian tender juga akan diuruskan sepenuhnya oleh MAHB dan kerja naik taraf tersebut dijangka dapat bermula pada tahun ini dan dijangka akan mengambil masa selama tiga ke empat tahun untuk disiapkan.
Ujarnya lagi, sebahagian kos naik taraf lapangan terbang tersebut juga akan ditanggung oleh kerajaan negeri seperti infrastruktur yang terletak berdekatan dengan lokasi lapangan terbang tersebut. – KOSMO! ONLINE