SUNGAI PETANI – Seorang lelaki yang dipercayai menjadi punca kebakaran sebuah bengkel kereta dan motosikal hingga mengakibatkan tujuh buah kereta dan 11 motosikal musnah di Taman Keladi pagi kelmarin direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 29 Februari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda,Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lelaki itu direman bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan.
“Lelaki terbabit yang ditahan semasa kejadian kebakaran itu oleh orang ramai sebelum ditangkap semula oleh pihak polis direman selepas perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini.
“Kita juga mengesyaki lelaki terbabit merupakan seorang penagih dadah dan kita sedang melakukan siasatan sebaik mendapat perintah tahanan reman itu,” katanya.
Terdahulu, akhbar melaporkan seorang lelaki mental dipercayai menjadi punca kebakaran itu pagi semalam.
Lelaki berumur dalam lingkungan 30’an itu ditahan oleh orang ramai di dalam sebuah kedai makan yang terletak bersebelahan bengkel terbabit kerana dilihat berkelakuan aneh dan gembira melihat api marak membakar kenderaan itu.
Soal siasat yang dijalankan oleh orang ramai kemudiannya menyebabkan lelaki yang mengalami masalah mental itu mengaku melakukannya dan suspek kemudian diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-KOSMO!ONLINE