DUNGUN – Seorang peniaga yang digelar Ayahanda Husin dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menguruskan sebuah pertubuhan haram, Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Malaysia Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) pada tahun lalu.
Tertuduh, Husin Hassan, 40, turut didakwa bersama seorang mekanik, Mohd. Syamim Abdul Rahim, 39, atas dakwaan mengambil bahagian dalam AHK yang merupakan pertubuhan tidak berdaftar.
Turut didakwa adik dan anak Husin iaitu Mohamad, 39, dan Muhammad Airel Amirul, 21, serta seorang pemandu ambulans, Hilmy Ibrahim, 50, atas dakwaan menjadi anggota AHK.
Kesemua tertuduh termasuk ketuanya, Husin membuat pengakuan tidak bersalah setelah semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.
Berdasarkan pertuduhan, Husin didakwa mengurus AHK yang merupakan sebuah pertubuhan tidak berdaftar di Kampung Sura Jeti di sini pada pukul 1.40 pagi, 20 Januari 2023.
Dia turut didakwa bersama Mohd. Syamim mengambil bahagian dalam AHK tanpa kebenaran bertulis Pendaftar mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000.
Mohd. Syamim pula bersama Mohamad, Muhammad Airel Amirul dan Hilmy didakwa menjadi anggota AHK mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kosmo! 23 Januari 2023 melaporkan AHK yang disyaki aktif dalam aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau ah long dan menarik kenderaan secara haram berjaya dilumpuhkan dalam operasi khas dilakukan Bukit Aman di sekitar Dungun.
Siasatan awal mendapati AHK yang merupakan serpihan pertubuhan berdaftar, Selendang Merah mula aktif di sekitar Dungun dan dipercayai merekrut keahlian termasuk dalam kalangan anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun sejak tahun 2021. – KOSMO! ONLINE