PETALING JAYA – Bank Negara (BNM) memaklumkan bahawa ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi.
Ini kerana kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour nilai ringgit pada masa ini terkurang nilai.
“Memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Rasheed berkata, bagi melonjakkan semula nilai mata wang negara, BNM telah meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat korporat dan pelabur.
Jelasnya, perbincangan itu bagi menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing.
Terdahulu, berdasarkan tukaran semasa hari ini, nilai ringgit mencecah paras 4.78 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS).-KOSMO! ONLINE