fbpx

Dewan Rakyat: Jangan heret ‘perang politik’ dalam Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memohon sebarang isu atau ‘perang politik’ antara parti tidak diheret ke dalam Dewan Rakyat.

Menurutnya, beliau dan Timbalannya, Datuk Ramli Mohd Nor dan Alice Lau Kiong Yieng tidak akan bertolak ansur dan akan mengenakan tindakan tegas.

“Saya sudah maklum kepada timbalan untuk memastikan masalah di luar Dewan Rakyat sama ada ‘peperangan’ antara parti atau apa-apa juga melalui media sosial diselesaikan di luar (Dewan Rakyat).

“Jangan mengheret kita semua dalam dewan ini. Mana-mana YB (Yang Berhormat) menggunakan platform ini untuk tujuan memperkenakan kawan-kawan, saya pasti akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika sesi pemasyhuran sebelum sidang Dewan Rakyat bermula hari ini.

Selain itu, Johari meminta semua Ahli Parlimen merealisasikan lima prinsip Rukun Negara yang dilafazkan ketika permulaan sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini buat pertama kalinya menyaksikan para Ahli Parlimen melafazkan ikrar Rukun Negara sebelum memulakan persidangan pagi ini diketuai Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

“YB hendaklah menunjukkan contoh baik kepada rakyat sepanjang berada dalam dewan ini kerana kita semua disaksikan rakyat melalui pelbagai platform,” katanya.

Dalam pada itu, Johari turut memperingatkan beberapa peruntukan dalam Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang perlu dipatuhi Ahli Parlimen.

Kata beliau, Peraturan 36(8) membataskan perbincangan mengenai kelakukan atau sifat Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertua Negeri atau beberapa kategori jawatan lain.

Tambah beliau, Peraturan 36(7 memperuntukkan nama Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh digunakan untuk mempengaruhi majlis mesyuarat

Beliau berkata, Peraturan 36(10)(c menetapkan kesalahan pada peraturan menggunakan perkataan yang menaikkan perasaan bersakit-sakit atau bermusuh-musuhan antara kaum dalam masyarakat di Malaysia atau melanggar mana-mana syarat dalam Perlembagaan Persekutuan atau Akta Hasutan 1948. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI