ALOR SETAR – Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Md. Rozai Shafian meninggal dunia akibat komplikasi dalaman pada pukul 11.40 malam tadi.
Anak Allahyarham, Anas Aidi memberitahu, Md. Rozai, 69, menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Katanya, kesihatan arwah bapanya mula merosot sejak dua minggu lalu dan dimasukkan ke sebuah pakar perubatan swasta di sini sebelum dipindahkan ke HSB.
“Arwah bapa sepatutnya menjalani satu prosedur perubatan tetapi keadaannya tidak stabil sejak dimasukkan ke HSB sejak empat hari lalu.
“Paras oksigen bapa juga menurun menyebabkan doktor tidak dapat melakukan proses seterusnya sebelum beliau disahkan meninggal dunia malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Md. Rozai yang menjadi Speaker DUN Kedah dari 2013 hingga 2018 meninggalkan isteri, Datin Khalijah Ghazali dan enam anak mereka.
Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang pada 1999 hingga 2004 ketika Kedah dipimpin Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain selaku Menteri Besar.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Md. Rozai dijangka dikebumikan selepas solat Zohor hari ini di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Amin di Kobah, Pendang. – KOSMO! ONLINE