KOTA BHARU – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mencadangkan penggunaan pelindung muka bagi menggantikan pelitup muka yang digunakan oleh petugas barisan hadapan ketika menghadapi musim banjir.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, cadangan terbabit terhasil daripada perbincangan bersama kerajaan negeri hari ini.
Katanya, cadangan itu juga dilihat rasional apabila petugas barisan hadapan perlu berhadapan dengan keadaan hujan lebat sebelum sesebuah kawasan berlaku banjir.
“Menerusi perbincangan itu, penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan banjir termasuk kesesuaian pengggunaan pelindung muka kepada barisan hadapan turun padang.
“Petugas barisan hadapan berdepan dengan pelbagai cabaran dan pastinya pelitup muka akan basah ketika hujan. Jadi, penggunaan pelindung muka merupakan salah satu kaedah terbaik untuk kegunaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di depoh simpanan keperluan bencana di Taman Kemumin, Pengkalan Chepa dan Stesen Aras Air Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Tambatan Diraja di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin dan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah.
Mengulas lanjut, menurut Aminuddin, cadangan itu masih dalam peringkat awal dan perbincangan dengan kerajaan negeri Terengganu dan Pahang turut akan diadakan selepas ini.
Katanya, sekiranya cadangan itu dipersetujui, Nadma akan memberi bekalan pelindung muka untuk kegunaan petugas barisan hadapan di tiga negeri ini.
Dalam pada itu, menurutnya, pihaknya telah memberi memperuntukkan sebanyak RM50,000 kepada kerajaan negeri bagi membantu aspek pengurusan banjir.
Katanya, peruntukan sebanyak RM20,000 masing-masing diberikan di setiap daerah dan APM untuk membantu pengurusan bencana banjir di Kelantan. – K! ONLINE