KUALA LUMPUR – Ralat. Itu dirasai pelakon Beto Kusyairy yang masih belum berkesempatan menonton filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di pawagam sehingga hari ini.
Menurut Beto atau nama penuhnya Nur Kusyairy Zakuan Osman, 44, jadual kerja yang padat dan sibuk dengan komitmen lain merupakan antara sebab dia masih belum sempat menonton filem arahan Sharuddin Dali dan Saiful Reza Shukor itu.
“Agak terkilan kerana belum berkesempatan untuk menonton filem ini.
“Masa juga tak mengizinkan dan sangat sibuk dengan komitmen kerja.
“Apapun, saya tetap mendoakan yang terbaik untuk filem tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.
Mengulas dakwaan filem tersebut kurang mendapat sambutan kerana dirinya tidak tersenarai dalam barisan pelakon, Beto menegaskan dia bukan individu yang layak untuk memberi kenyataan mengenai hal berkenaan.
“Saya sentiasa mendoakan kejayaan mereka, tiada istilah iri hati atau sebaliknya.
“Sebenarnya itu bukan hak saya beri kenyataan. Kalau orang nak bandingkan dengan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, kedua-duanya daripada pengarah dan produksi berbeza.
“Jadi, saya tiada hak apa pun untuk beri komen,” ujarnya ringkas.
Pendekar Awang terbitan Studio Kembara yang mula menemui penonton pada 11 Januari lalu itu masih ditayangkan di beberapa pawagam seluruh negara sehingga hari ini.
Naskhah yang berjaya mengutip RM2.4 juta dalam tempoh 56 jam selepas tayangan dibintangi Fattah Amin, Nur Fazura, Nadhir Nasar, Amir Ahnaf dan Heliza Helmi. – KOSMO! ONLINE