MELAKA – Padah menghendap seorang wanita berulang kali, Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang lelaki warga Pakistan.
Majistret Khairunnisak Hassni membuat ketetapan itu selepas tertuduh Ahmed Waqar, 30, mengekalkan pengakuan bersalah seperti ketika dituduh kali pertama pada 30 Januari lalu.
Dalam penghakimannya, Khairunnisak menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pemberatan hukuman oleh Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar.
Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Ahmed Waqar yang diwakili peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun membayar dengan tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah berulang kali mengganggu seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dengan menghendap melalui tingkap di belakang rumah mangsa di Bukit Beruang dalam daerah Melaka Tengah.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 5.52 pagi sehingga 6.10 pagi antara 14 November sehingga 6 Disember 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh di hukum di bawah Seksyen 507A (3) kanun sama. – KOSMO! ONLINE