PENDANG – Bapa mentua kepada pemain skuad Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad sedih apabila kehilangan isteri dan cucu baharunya secara serentak dalam kemalangan di Sungai Bakap, Nibong Tebal di Pulau Pinang awal pagi ini.
Norain Shahadan, 50, berkata, dia bagaikan tidak percaya ketika dimaklumkan tentang kejadian oleh besannya, Ahmad Ibrahim, 56, kira-kira pukul 6 pagi tadi.
“Saya terkejut dan pada masa itu perasaan saya berbelah bahagi sama ada mahu percaya atau tidak. Bagaimanapun saya reda dengan apa yang berlaku.
“Pada masa sama, saya bersyukur kerana anak sulung saya, menantu serta cucu sulung selamat dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Padang Pusing di sini hari ini.
Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada isterinya, Allahyarham Zainab Wahab, 46, dua hari lalu yang memaklumkan bahawa mereka akan pulang ke Pendang untuk membawa balik cucu baharu.
“Isteri pergi ke rumah menantu di Johor sejak Deepavali memandangkan anak bakal melahirkan bayi dan terkandas di sana ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Mereka kemudian pulang sebelum terlibat kemalangan awal pagi tadi,” ujarnya.
Tambahnya, dia terkilan kerana belum sempat menatap wajah cucu lelaki sulungnya itu dan hanya melihatnya menerusi gambar dikirim anak.
“Tidak sangka yang pulang adalah jenazah isteri dan cucu,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi tadi, Muhammad Syafiq yang juga penyerang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari dalam kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan di Sungai Bakap.
Kemalangan turut mengakibatkan ibu mentua Muhammad Syafiq, Zainab dan warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an maut.
Sementara, Muhammad Syafiq dan seorang lagi anak, Aaira Nur Saffiya, cedera ringan manakala isterinya, Nur Amalina Norain, 25, dilaporkan cedera parah. – K! ONLINE