KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah pun mempunyai Pelan B bagi menggantikan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekiranya venue berkenaan tidak bersedia untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, hujung bulan depan.
Perancangan awal ini dibuat selepas venue berkenaan baharu saja menjadi ‘tuan rumah’ kepada konsert Ed Sheeran, kelmarin sekaligus menimbulkan kerisauan kepada peminat tempatan.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata kata putus hanya akan ditentukan selepas pihaknya mengadakan lawatan dan menilai venue berkenaan, hujung minggu ini.
“Kami akan melawat Stadium Nasional pada awal Mac untuk melihat sendiri keadaan padang. Jika keadaan tak bagus, kita akan pergi tempat lain. Kita kena tengok dulu walaupun PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) maklumkan mengenai langkah untuk memastikan padang dalam keadaan baik.
“Namun, yang pentingnya pada awal Mac kita akan tengok sama ada ia boleh digunakan untuk perlawanan dengan Oman atau tidak. Saya berasa kalau Bukit Jalil tak bagus, mungkin (dimainkan) Stadium Sultan Ibrahim.
“Kalau tak dapat, Terengganu… itu antara yang terbaik kerana Kim Pan-gon nak kualiti padang yang bagus,” katanya ketika ditemui selepas sesi Town Hall bola sepak wanita FAM, di sini, hari ini.
Sebelum ini, PSM mendapat kritikan teruk selepas permukaan padang di ‘rumah Harimau Malaya’ rosak teruk ekoran penganjuran konsert Coldplay.
Bagaimanapun, PSM dalam kenyataan menjelaskan langkah awal sudah dilakukan termasuk memindahkan rumput seluas 1900m2 dan ia diberi jagaan intensif termasuk pengairan serta pembajaan supaya kesihatan rumput berada pada tahap optimum. – KOSMO! ONLINE